Lelaki Bawa Dadah 20kg Bernilai RM900k Dicekup

NILAI – Cubaan seorang lelaki tempatan untuk menyeludup masuk 20 kilogram dadah jenis ketamine bernilai RM900,000 ke Malaysia gagal baru-baru ini.

Malah suspek berjaya ditahan oleh anggota Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Lapangan Terbang Antabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang bulan lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya berkata dadah berkenaan dalam dua bungkusan ditemukan disorok di dalam bagasi milik lelaki berusia 37 tahun itu.

Suspek tiba dari Mumbai, India, pada kira-kira 10.45 pagi, 13 Oktober lepas. Hasil pemeriksaan ke atas suspek menjumpai dua bungkusan mengandungi serbuk berwarna coklat di dalam bagasinya.

“Namun suspek mendakwa konon serbuk itu adalah serbuk kunyit yang dibeli dari sebuah pasar raya di India bagi dijadikan sebagai bahan campuran untuk minuman kesihatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hasil ujian saringan awal Jabatan Kimia mengesahkan sampel serbuk berwarna coklat itu adalah dadah jenis ketamine, kata Zulkifli.

Beliau berkata suspek, seorang pemilik pusat karaoke, turut didapati positif dadah dan sedang dalam tahanan reman sehingga Isnin depan.

“Siasatan juga sedang dijalankan sama ada suspek ini keldai dadah atau bukan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. – BERNAMA

Loading...