Legasi Jambatan Victoria Di Kuala Kangsar

TERLETAK di Enggor, Kuala Kangsar, Perak, Jambatan Victoria sememangnya menggamit pelancong.

Berusia 117 tahun, nama Jambatan Victoria diambil sempena nama Ratu Victoria yang memerintah United Kingdom (UK) ketika itu.

Jambatan yang juga dikenali sebagai Jambatan Enggor merentasi Sungai Perak ini mula dibina pada 1897 dan menjadi jambatan kereta api tertua di Malaysia.

Tempoh pembinaannya mengambil masa selama tiga tahun dan pada 1900 ia dibuka secara rasminya oleh Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah pada tahun 1900.

Jurutera yang bertanggungjawab terhadap pembinaan jambatan ini ialah GW Fryer, Divisional Engineer dan CR Hanson.

Pembinaan jambatan ini melengkapkan laluan kereta api dari Enggor ke Kuala Kangsar. Pada 1910, jambatan ini digunakan sepenuhnya untuk laluan kereta api dari Perai ke Johor Bahru.

Antara peristiwa penting adalah semasa serangan tentera Jepun di Perak pada tahun 1941, tentera British telah meletupkan jambatan ini untuk melambatkan kemaraan tentera Jepun bagi menyeberangi Sungai Perak.

Sehingga kini, terdapat beberapa kubu asal yang dibina oleh tentera British untuk mengawal jambatan ini.

Bagaimanapun, pada 2002, sebuah jambatan konkrit yang baharu telah dibina bagi menggantikan jambatan yang telah berusia lebih dari 100 tahun itu.

Sejak itu, ia tidak lagi digunakan, namun terus menjadi salah satu tarikan pelancongan di Kuala Kangsar.

Di sini, selain dapat melihat sendiri jambatan kereta api yang masih kukuh, keindahan Sungai Perak dan kedamaian suasana kampung yang mendamaikan.

Jambatan ini juga sering dijadikan lokasi pilihan kepada pengamal fotografi untuk diabadikan di dalam koleksi gambar mereka. – MYNEWSHUB.CC