Lebih RM1 Bilion Tingkat Perkhidmatan Internet

KANGAR – Kerajaan memperuntukkan lebih RM1 bilion bagi meningkatkan kemudahan internet dan jalur lebar bermutu tinggi di lebih banyak kawasan tahun ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Eddin Syazlee Shith.

Beliau berkata, langkah itu perlu memandangkan usaha kerajaan terdahulu yang membelanjakan lebih RM8 bilion untuk menyediakan infrastruktur yang diperlukan tidak mencapai tahap sepatutnya dalam menyampaikan perkhidmatan itu.

“Perkara ini berlaku kerana banyak syarikat penyedia perkhidmatan yang dilantik sebelum ini tidak menunaikan tanggungjawab dengan baik dan memuaskan.

Justeru, pada tahun ini kita tumpu untuk meningkatkan kemudahan asas supaya rakyat dapat menikmatinya pada tahap terbaik,” kata beliau pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat oleh ketua-ketua jabatan agensi di bawah KKMM Perlis di Jabatan Penyiaran Malaysia Perlis di sini hari ini.

Eddin Syazlee berkata, oleh kerana masih banyak kawasan tidak menerima kemudahan internet yang memuaskan, maka meningkatkan mutu perkhidmatan itu di kawasan berkenaan menjadi keutamaan berbanding menyediakan kemudahan 4G atau 5G yang lebih canggih. – BERNAMA

Loading...