Lebih Ramai Akan Menganggur Hingga Akhir 2021

PETALING JAYA – Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mengingatkan bahawa lebih separuh graduan tempatan akan menganggur sekiranya mereka tidak melengkapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri.

Pengarah eksekutif MEF, Shamsuddin bardan berkata, trend itu akan berterusan sehingga akhir tahun depan berikutan keadaan ekonomi tempatan dan dunia, dengan menambah bahawa Bank Dunia juga mengunjurkan keadaan ekonomi yang suram sehingga akhir 2020.

Kata beliau, pada ketika ini, daripada 100 pekerjaan yang diiklankan, 89 daripadanya merupakan pekerjaan berjawatan rendah yang tidak diminati rakyat tempatan.

“Empat pekerjaan adalah di peringkat pertengahan, sementara hanya 7 pekerjaan kemahiran tinggi diiklankan,” katanya kepada FMT.

Shamsuddin berkata, kebanyakan rakyat Malaysia, terutama graduan, meminati pekerjaan peringkat pertengahan, tetapi jumlahnya tidak mencukupi jika dibandingkan dengan angka lepasan universiti setiap tahun.

Beliau berkata, susulan keadaan itu, majikan akan hanya mengambil calon terbaik yang ada.

“Kita perlukan calon yang boleh berkomunikasi dengan baik. Itu pun kita tak dapat. Ia masalah yang tiada kesudahan.

“Graduan kita dimanjakan. Kita perlu melatih mereka berkali kali,” katanya, dengan menambah, berikutan keadaan itu, mereka yang mampu berfikiran kreatif dan berdikari mempunyai peluang lebih cerah untuk ditawarkan kerja.

Shamsuddin berkata, majikan di sektor swasta memerlukan calon yang boleh menulis dan bercakap dalam bahasa Inggeris, dan mereka yang menjadi aset kepada majikan.

Katanya, lulusan Teknologi Maklumat dan yang mempunyai kemahiran teknikal lebih mudah mendapat kerja.

“Bagaimanapun kita tidak tahu apakah yang sedang berlaku dalam pentadbiran kerajaan. Kita tidak tahu arah yang akan diambil kerajaan dari segi TVET,” katanya merujuk kepada Latihan Pendididikan Teknikal dan Vokasional.

Katanya, rakyat Malaysia perlu faham bahawa sektor swasta kini tidak berada pada kedudukan baik berbanding sebelum ini berikutan iklim ekonomi semasa, lalu menyebabkan jumlah pekerjaan peringkat pertengahan dan tinggi semakin berkurang.

Beliau berkata, syarikat besar juga sedang menjalankan proses penstrukturan semula dan memberhentikan pekerja, sementara syarikat lebih kecil pula menutup perniagaan mereka.

“Kos menjalankan perniagaan yang meningkat juga memberi kesan ke atas syarikat kecil,” katanya dengan menambah bahawa gaji minimum telah meningkat kepada RM1,050 setiap pekerja.

Selain itu kata beliau, syarikat juga dikehendaki membayar caruman keselamatan sosial atau Socso bagi setiap pekerja mereka.

Katanya, syarikat kini mahu mengurangkan jumlah pekerja dengan beralih kepada robotik atau kecerdasan buatan, yang boleh memburukkan lagi sudut pekerjaan di sektor swasta.

Indeks Pekerjaan Monster di Monster.com melaporkan aliran menurun dalam suku pertama tahun ini, iaitu sebanyak 8% bagi Januari dan Februari 2019.

“Ini merupakan penurunan 12 bulan berturut-burut dalam pengambilan pekerja secara atas talian,” katanya.

Juga dilaporkan bahawa permintaan terhadap profesional teknikal mahir dan pengambilan pekerja daripada bidang Teknologi Maklumat terus meningkat, dengan mencatatkan pertumbuhan tahunan positif sepanjang 11 bulan berturut-turut. – FMT

Loading...