Lebih 700,000 Pendeposit Tabung Haji Tidak Aktif

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengenalpasti lebih 700,000 akaun pendeposit TH membabitkan jumlah simpanan sebanyak RM60.4 juta tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun berturut-turut mulai tahun 2012.

Angka itu adalah sehingga akhir Ogos 2019.

Sehubungan itu, TH menasihati pendeposit untuk mengaktifkan akaun masing-masing dengan melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi simpanan atau pengeluaran wang di mana-mana cawangan TH, kaunter uniteller atau melakukan transaksi atas talian dengan mana-mana rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB di seluruh negara.

Pendeposit juga boleh menyemak status akaun mereka di saluran-saluran ini dengan hanya membawa kad pengenalan masing-masing.

Akaun-akaun yang masih tidak diaktifkan selepas 1 November 2019 akan dipindahkan ke dalam kumpulan Akaun Dormant (Tidak Aktif) dan akaun-akaun tersebut tidak lagi memperoleh manfaat sebagai pendeposit Akaun Aktif TH

Namun begitu, amaun yang dipindahkan ke Akaun Dormant tersebut masih lagi boleh dituntut dan dibayar kepada pendeposit TH menurut peruntukan seksyen 23(2) Akta Tabung Haji 1995.

Tabung Haji berkata, setiap tahun, TH akan mengingatkan para pendeposit untuk memastikan status akaun sentiasa aktif, di samping mengemaskini data peribadi seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris bagi memudahkan TH menghubungi pendeposit atau waris mereka untuk urusan penghantaran surat tawaran haji dan pengurusan akaun.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau sebarang perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) di talian 03-6207 1919. 

Loading...