Lebih 7 Jam 400 Penumpang Feri Terkandas

NASIB malang ditimpa kira-kira 400 penumpang feri dari Langkawi apabila masa tujuh jam mereka terpaksa dihabiskan dalam feri yang dinaiki ketika terkandas di perairan Kuala Perlis semalam.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 8.30 malam membabitkan feri dua tingkat dalam perjalanan dari Jeti Kuah, Langkawi, Kedah menuju Kuala Perlis di Perlis.

Punca kejadian pelik tersebut difahamkan berlaku disebabkan feri berkenaan secara tidak sengaja terlanggar beting pasir ketika air laut kebetulan sedang surut.

Penumpang, Zulkifli Md Isa, 56, berkata, terdapat usaha menyelesaikan masalah tersebut namun tidak berjaya.

“Sejurus terlanggar beting pasir, feri yang sarat dengan penumpang ini terhenti dan masih tidak bergerak.

“Ada cubaan bot bilis menarik feri tetapi tidak berjaya kerana mungkin feri berat berikutan penumpang penuh,” katanya pada akhbar tempatan.

Hanya sekitar 100 meter sahaja lagi dari jeti Kuala Perlis, para penumpang terpaksa menunggu air pasang dijangka pada pukul 2 pagi tadi untuk membolehkan perjalanan diteruskan.

Dalam pada itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kuala Perlis telah menghantar bot peninjau bagi memeriksa keadaan feri berkenaan.

“Setakat ini, kami hanya diarahkan untuk menghantar bot peninjau bagi memerhatikan keadaan feri yang tersangkut itu.

“Hasil pemerhatian, kita dapati bahagian bawah feri tersebut tersangkut dan terpaksa menunggu air pasang bagi membolehkan perjalanan diteruskan,” ujarnya.

Keadaan dalam feri tersebut tenang dan terkawal meskipun kebanyakan mereka terpaksa menunggu dalam tempoh lama.

Insiden tersebut juga menyebabkan sebahagian penumpang feri yang sudah membeli tiket bas awal dalam perjalanan ke pelbagai destinasi terpaksa melupakan hasrat mereka. – MYNEWSHUB.CC

Loading...