Lebih 50,000 Pelajar Perempuan Terjebak Dengan Vape

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini mendedahkan seramai 300,000 pelajar sekolah terjebak dengan penggunakan rokok elektronik atau vape.

Menterinya Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan kajian yang dibuat pihaknya, daripada jumlah itu 50,000 melibatkan pelajar perempuan dan ia berada ditahap membimbangkan.

“Satu kajian dalam kalangan pengguna rokok elektronik di Malaysia mendapati 9.1% atau 300,000 pelajar kita menggunakan vape. Daripada jumlah itu 250,000 melibatkan pelajar lelaki dan bakinya 50,000 pelajar perempuan. Itu sangat menggusarkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) ang meminta menteri kesihatan menyatakan adakah kementerian bercadang untuk menguatkuasakan larangan penjualan rokok elektronik secara menyeluruh atau membendung jualan bahan berkenaan, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah memandangkan bahaya bahan itu daripada aspek kesihatan.

Dzulkefly menambah, selain nikotin yang terdapat dalam bahan bakarya, vape juga turut mengandungi aerosol.

Katanya, Kementerian Kesihatan akan mengguna pakai kajian dibuat pihak berkepentingan di seluruh dunia yang mempunyai pelbagai pandangan berhubung penggunaan vape.

“Kajian agak kukuh dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan juga pihak lain. Semua kajian ini sedang kita teliti secara keseluruhan kerana terdapat dakwaan, terutamanya daripada pengusaha vape, yang menyebut ia (vape) tidak ada nikotin dan selamat digunakan.

“Jumlah kematian yang didakwa ada hubung kait dengan penggunaan vape dalah 28 di Amerika Syarikat dan satu di UK. Itu semua menajdikan ia sangat penting dikaji,” katanya.

Beliau mengakui jumlah penggunaan rokok elektronik mencatatkan peningkatan dari tahun 2013-2016 dan ia tutut berlaku di peringkat global.

“Rokok elektronik atau vape yang menggunakan cecair bernikotin dikawal di bawah Akta Racun 1952. Di bawah akta ini, sebarang persediaan yang mengandungi nikotin, termasuk cecair rokok elektronik adalah dilarang penjualannya kecuali oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar.

“Mana-mana orang selain daripada mereka yang disebut di atas yang menjual sebarang persediaan yang mengandungi nikotin, termasuk cecair rokok elektronik bernikotin adalah melakukan satu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Kata Dzulkefly, satu akta baru digubal di bawah Kementerian Kesihatan bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang kini sedang dalam semakan Jabatan Peguam Negara.

“Di bawah akta baru ini penggunaan semua jenis produk rokok seperti rokok konvensional dan rokok elektronik atau vape bagi mereka yang berumur di bawah 18 tahun adalah dilarang sama sekali,” katanya.

Loading...