Lebih 2,000 Penjawat Awam Disiasat Rasuah Sejak 2016

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,287 kertas siasatan dibuka ke atas penjawat awam bagi menyiasat aduan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan sejak 2016 hingga September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab membantu kementerian dan jabatan kerajaan khasnya dalam meneliti sistem dan prosedur kerja bagi memastikan ruang dan peluang rasuah dapat ditutup.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

“Pelbagai inisiatif pencegahan rasuah dilaksanakan sebagai pencetus usaha pencegahan rasuah.

“Sebagai contoh, setiap agensi memerlukan tools (pemudah cara) seperti Pengurusan Risiko Rasuah (CRM), Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) dan Sistem Pengurusan Antirasuah dalam usaha mengekang perlakuan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 139 agensi sudah melaksanakan libat urus dengan SPRM menerusi CRM sementara 40 agensi lagi menerusi OACP.

Menjawab soalan tambahan Abdullah, Takiyuddin berkata, tindakan undang-undang yang diambil SPRM tidak mengira latar belakang, malah pemimpin politik juga boleh diambil tindakan sama. – BH Online