Lebih 2,000 Kecacatan Kerja Di Kompleks Sukan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,365 kecacatan kerja dilaporkan pada Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil (KSNBJ) bermula November 2017 sehingga Mac tahun ini, sejak kompleks itu dinaik taraf untuk menganjurkan Sukan SEA dan Para ASEAN 2017.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2, sebanyak 98.4 peratus (2,328) daripada kecacatan itu belum diambil tindakan walaupun telah melebihi 90 hari selepas projek itu dilaksanakan di bawah kaedah Perkongsian Awam-Swasta (PPP) secara pertukaran tanah.

Pusat Akuatik Nasional menunjukkan kecacatan paling tinggi, iaitu sebanyak 804, diikuti Stadium Putra yang kini dikenali sebagai Axiata Arena (751), manakala disiplin elektrikal menunjukkan kecacatan tertinggi dengan 45.4 peratus (1,073) kecacatan daripada jumlah keseluruhan.

Bagi mengatasi masalah itu, laporan itu mengesyorkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk mengenal pasti kecacatan semasa Tempoh Tanggungan Kecacatan (DLP) dan melaksanakan pemantauan berterusan terhadap kerja pembaikan bagi memastikan kualiti kerja terjamin.

KBS dan PSM juga diminta untuk memastikan masalah sistem penggera kebakaran diatasi dengan segera dan bertindak dengan segera untuk mendapatkan Sijil Perakuan Bomba bagi KSNBJ, selain mewujudkan jawatan pegawai keselamatan.

“Sijil Perakuan Siap Kerja dikeluarkan walaupun masih terdapat kerja belum siap dan kecacatan kerja yang belum disempurnakan serta dokumen sokongan yang belum dikemukakan oleh kontraktor.

“Klausa penyenggaraan berkala semasa DLP tidak diambil kira dalam perjanjian menyebabkan kerajaan dikehendaki menanggung kos penyenggaraan berkala yang berjumlah RM2.58 juta setahun bagi komponen mekanikal yang dinaik taraf dalam Projek 1 yang siap pada 22 Julai,” menurut laporan itu.

Audit tersebut juga mendapati, PSM masih belum menggunakan dan mendaftarkan perabot dan peralatan bernilai RM1.2 juta yang diserahkan oleh pihak kontraktor pada Julai 2017, termasuk peralatan Interkom Unit dan Keyphone bernilai RM547,897.

Ia mengenal pasti kelemahan KBS untuk menentukan keperluan sebenar menyebabkan perabot dan peralatan tidak dapat digunakan dengan optimum, kerana pemeriksaan fizikal audit pada Jun dan Julai lalu mendapati sebanyak 259 unit masih berada di dalam bungkusan dan stor di Stadium Nasional, Pusat Akuatik Nasional dan Axiata Arena.

Laporan itu juga mendapati bahawa skop kerja yang dimuktamadkan dalam makmal pengurusan nilai berbeza dengan skop kerja yang dinyatakan dalam Perjanjian Penswastaan, seterusnya skop kerja yang dimuktamadkan dalam makmal pengurusan nilai diambil kira dalam perjanjian tambahan, menyebabkan kos meningkat daripada RM499.21 juta kepada RM1,211.91 juta.

“Nilai bon pelaksanaan lima peratus tidak dinaikkan selaras dengan kenaikan nilai Projek 1 pada Perjanjian Tambahan 2 yang sepatutnya dikemukakan pada 21 April 2017, namun ia tidak dikemukakan sehingga 16 Ogos 2018. Hanya lima daripada 21 pakej kerja telah dimuktamadkan sebelum kerja dimulakan,” menurut laporan itu. – BERNAMA

Loading...