Lebih 100 Mangsa Pencemaran Pasir Gudang Lapor Polis

JOHOR BAHRU – Lebih 100 mangsa pencemaran di Pasir Gudang pada Mac dan Jun lalu membuat laporan polis di sini, hari ini bagi meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kejadian itu.

Antara mangsa yang membuat laporan itu ialah penduduk Taman Pasir Putih, Kota Masai dan Tanjung Puteri Resort.

Laporan polis itu dibuat menerusi Badan Bertindak Penduduk Isu Pencemaran Alam Taman Pasir Putih di Balai Polis Seri Alam pada 11.11 pagi tadi.

Timbalan Pengerusi badan itu, Mohd Rafee Abdullah, 46, berkata siasatan perlu dilakukan kerana terdapat kemungkinan tugas pemantauan dan penguatkuasaan kurang sempurna sehingga menyebabkan pencemaran berlaku.

Beliau mendakwa pihaknya mendapati wujud kekurangan selepas meneliti data tapak pelupusan sampah haram, kilang haram dan kilang yang melanggar peraturan serta laporan media baru-baru ini.

“Kami meminta pihak berwajib menjalankan siasatan bagi memastikan sama ada berlaku unsur rasuah atau ugutan kepada pihak penguatkuasaan atau salah laku sehingga menyebabkan insiden ini berlaku.”

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Ismail Dollah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis dibuat badan berkenaan.

Loading...