Le Tour de Femina 2019 Julung Kali Di Malaysia

PUTRAJAYA – Malaysia buat julung kalinya akan menganjurkan perlumbaan jelajah berbasikal wanita antarabangsa Le Tour de Femina (LTdF) 2019 pada 6 hingga 12 September ini.

Perlumbaan enam peringkat berstatus UCI 2.1 (wanita elit) membabitkan penyertaan kelab-kelab profesional wanita termasuk dari Eropah, Amerika, Oceania dan Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif LTdF 2019, Shahirudeen Seeni Mohamad berkata, setakat ini pihaknya telah menerima maklum balas yang amat menggalakkan daripada pasukan yang berminat untuk menyertai perlumbaan ini.

“Dari segi pasukan, kami tidak ada masalah kerana perlumbaan jelajah berbasikal untuk wanita tidak banyak. Bila lihat ada penganjuran seperti ini, ramai menyatakan minat untuk turut serta.

“Dengan status UCI 2.1, kami perlu menapis penyertaan ekoran banyak penyertaan daripada Eropah. Kami kena bagi peluang kepada pasukan Asia, pasukan kebangsaan seperti Malaysia dan Indonesia.

“Kalau semua pasukan dari Eropah, ia tidak adil untuk pasukan Asia apatah lagi ia juga dikira sebagai mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Le Tour de Femina 2019 di sini, hari ini.

LTdF 2019 menyajikan perlumbaan jelajah pertama dianjurkan di Malaysia melibatkan keseluruhan 719.9km bermula di Jitra, Kedah dan berakhir di Cyberjaya.

Shahirudeen berkata, perlumbaan yang menelan belanja RM10 juta itu akan membabitkan 132 pelumba daripada 22 pasukan keseluruhannya.

Dalam pada itu, Shahirudeen berkata tidak timbul isu meniru sesiapa dalam usaha penganjuran LTdF 2019 itu.

“Penganjuran sebelum ini pada 2016 adalah 2.2 dan perlumbaan tempatan…kita punya perlumbaan antarabangsa. Ada beza seperti juga Jelajah Malaysia dan Le Tour de Langkawi (LTdL).

“Sesiapa sahaja boleh anjurkan perlumbaan macam ini. Tidak timbul siapa tiru idea siapa dalam usaha mengangkat martabat sukan berbasikal ini,” katanya yang berharap agar LTdF diteruskan setiap tahun dan meningkat ke taraf lebih tinggi.

Untuk rekod, pada masa ini terdapat 23 perlumbaan jelajah elit di bawah kalendar Jelajah Dunia Wanita UCI manakala bagi perlumbaan bertaraf 2.1 ke bawah, terdapat 30 perlumbaan diperakui UCI.

Laluan LTdF 2019:

Peringkat 1
Jitra – Kulim (116.1km)

Peringkat 2
Permatang Pauh – Kuala Kangsar (117.1km)

Peringkat 3
Tapah – Bukit Fraser (124.2km)

Peringkat 4
Shah Alam – Alor Gajah (132km)

Peringkat 5
Jasin – Muar (112.3km)

Peringkat 6
Tampin – Cyberjaya (118.2km)

Loading...