Lawatan Ke Atas Muhammad Adib Dihadkan

KUALA LUMPUR – Institut Jantung Negara (IJN) mahu lawatan ke atas anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang dirawat di pusat perubatan itu dihadkan untuk tempoh 48 hingga 72 jam seterusnya.

IJN dalam satu kenyataan hari ini berkata langkah itu adalah bagi membolehkan beliau menjalani sesi fisioterapi yang diperlukan tanpa gangguan dan pada masa yang sama mengurangkan risiko jangkitan silang daripada pelawat.

“Walaupun Muhammad Adib telah menunjukkan peningkatan dalam proses pemulihannya tetapi beliau masih lagi dianggap kritikal kerana dua organnya (paru-paru dan buah pinggang) masih memerlukan sistem sokongan (VV-EMCO dan dialisis),” kata kenyataan itu.

Keluarga Muhammad Adib menghargai sokongan dan keprihatinan semua rakyat Malaysia dan menggesa mereka semua terus mendoakan kesembuhan anggota bomba itu.

Sebelum ini Muhammad Adib dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas diserang oleh perusuh semasa dalam operasi untuk memadamkan kenderaan yang terbakar di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selasa minggu lepas. – BERNAMA

Loading...