Lawak SPRM Terlupa Nama SPRM!

MUNGKIN inilah antara jenaka paling pelik di Malaysia dan juga dunia apabila sebuah agensi penguatkuasaan terlupa untuk perkara paling mudah yang nampak kecil tetapi besar kesannya.

Selepas teruk dikutuk pelbagai pihak terutama Majlis Peguam Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akhirnya akui tertinggal meletakkan nama agensi tersebut sendiri dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara aneh tersebut yang mungkin agak lucu dijelaskan sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sebagai mana dilaporkan portal berita tempatan, The New Straits Times lewat semalam.

Beliau berkata Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam kenyataannya kelmarin ada tertinggal nama agensi itu berhubung kes penahanan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kenyataan rasmi kontroversi itu bertajuk ‘Pasukan Petugas Khas 1MDB mengesahkan penahanan Datuk Seri Najib Razak’, sepatutnya ditulis ‘Pasukan Petugas Khas 1MDB mengesahkan SPRM menahan Datuk Seri Najib Razak’.

Mohd. Shukri mendakwa konon: “Tiada sebarang isu. Perkataan SPRM secara tidak sengaja tertinggal, itu sahaja” seolah-olah impak kesilapan berkenaan agak kecil meskipun amat besar bagi yang celik teknikal undang-undang.

Kenyataan awal oleh SPRM itu mencetuskan pertikaian umum yang mempersoalkan apakah kuasa Pasukan Petugas Khas 1MDB itu mengumumkan penahanan Najib walhal ia tidak pernah ditauliahkan untuk menangkap suspek kes.

Malah Presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese mendakwa, pasukan terbabit tiada kuasa undang-undang untuk menahan Ahli Parlimen Pekan terbabit berhubung isu SRC International Sdn Bhd. – Mynewshub.TV

Loading...