Laungan ‘Dah Solat Ke Belum’ Hentikan Persembahan

ALOR SETAR – “Saya gagal menghayati sepenuhnya lagu Cinta Untuk Nabila kerana dalam hati masih ada Allah dan Rasul,” kata bekas vokalis Melissa, Ustaz Radzi atau nama sebenarnya Mohd Radzi Abdul Hamid.

Dalam temubual bersama NSTP pada Ogos tahun lalu, beliau menceritakan semula perjalanan hidupnya ke ibu kota pada pertengahan 80-an dengan tujuan mencari rezeki, sebelum kembali ke kampung halaman di Jitra, Kedah.

Pada mulanya, kata Ustaz Radzi, beliau hanya bekerja kilang. Namun, selepas berkenalan dengan pemain dram kumpulan PLO, Ikmal Hisyam, beliau mendapat kerja sebagai konduktor bas mini di Kuala Lumpur.

“Bermula daripada perkenalan bersama Ikmal, saya mula terbabit dalam muzik rock dan menjadi penyanyi kelab malam bersama kumpulan Stellar. Saya juga pernah membuat persembahan bersama Ella dan kumpulan The League.

“Pada 1988, kumpulan saya menyertai pertandingan Bintang Box Office dan kami berjaya memenangi tempat ketiga. Kumpulan D’Riyadh bersama penyanyinya, Ustaz Akhil Hayy, menjadi juara.

“Selepas itu, kami ditawar merakamkan album kompilasi bertajuk Hikayat Rock dan saya mula dikenali sehingga dilamar kumpulan Melissa yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang, untuk menjadi penyanyi utama,” katanya dalam rakaman video yang belum pernah disiarkan.

Ustaz Radzi berkata, pada 1989 beliau mula merakamkan album pertama yang memuatkan lagu hits kumpulan itu, Cinta Untuk Nabila, hasil ciptaan Rosli Selasih.

“Ada cerita di sebalik lagu ciptaan Rosli ini. Asalnya, ia adalah untuk kumpulan Search kerana anak Amy bernama Nabila. Namun, tidak sempat lagu itu diserahkan kepada mereka, Melissa merakamkannya terlebih dahulu.

“Beberapa tahun lalu, saya pernah bertemu Amy dan menceritakan hal ini kepadanya. Dia hanya tersenyum dan kami sama-sama berpeluk mengimbau kenangan waktu muda.

“Kekuatan lagu Cinta Untuk Nabila adalah pada melodi dan muziknya, namun Rosli menganggap saya gagal memberikan penghayatan 100 peratus ketika menyanyikan lagu itu,” katanya.

Lagu berkenaan pernah berada dalam carta Muzik Muzik 1990 selama enam bulan dan kedudukan terbaiknya adalah pada nombor dua. Namun ia tidak layak untuk ke pusingan akhir Juara Lagu pada tahun terbabit.

Mengulas lanjut, Ustaz Radzi berkata, beliau gagal mencapai tahap penghayatan seperti dimahukan oleh Rosli kerana di dalam hatinya masih ada perasaan cinta kepala Allah dan Rasul yang lebih tinggi.

“Pada 1992, album kedua bertajuk Cabaran dikeluarkan dan hati saya mula terdetik ketika merakamkan lagu Cengkaman dan Kepalsuan. Saya rasa ia adalah bagi menegur diri sendiri.

“Pernah pada suatu konsert, ketika penyanyi rock lain bertanya kepada penonton ‘dah makan ke belum’, tetapi saya bertanya ‘dah solat ke belum’ menyebabkan persembahan terhenti.

“Saya kemudian menghadap ke arah kiblat dan berbisik di dalam hati ‘ya Allah, bebaskanlah aku’ dan meninggalkan pentas. Ia menyebabkan rakan lain terkejut dan menyangka saya tidak berpuas hati dengan bayaran,” katanya.

Selepas itu, kehidupan Ustaz Radzi mula berubah sepenuhnya apabila beliau berkahwin dengan Zaimah Mokhtar pada September 1992.

“Ketika itu saya kembali menjadi konduktor bas bagi menampung kehidupan keluarga. Malah, sebenarnya saya masih menjadi konduktor sambilan setiap kali tiada persembahan bersama Melissa.

“Ujian datang sekali lagi apabila saya dipujuk bagi merakamkan album ketiga Melissa dengan bayaran RM20,000, ketika kedudukan kewangan keluarga belum kukuh. Namun secara baik saya menolaknya.

“Bimbang dengan godaan dunia, saya akhirnya nekad menjual semua perabot rumah yang baru dibeli. Bersama duit RM800 dan isteri yang mengandung anak pertama, kami pulang ke kampung di Jitra,” katanya.

Bagi memulakan kehidupan baharu, Ustaz Radzi menumpang di rumah kakaknya dan melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk sebagai pembantu kedai runcit, atendan stesen minyak dan Pegawai Agama di Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) sehinggalah menghembuskan nafas terakhir pada usia 55 tahun, 22 Disember lalu. – BH ONLINE

Loading...