Larangan Kedai Runcit Jual Arak Muktamad

SHAH ALAM – Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021 muktamad.

“Keputusan DBKL tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021 adalah muktamad,” kata Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu melalui ciapan di Twitternya.

Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras berkuat kuasa Ahad lalu.

Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata ketegasan terhadap penjualan minuman keras itu secara tidak langsung dapat mengatasi sebahagian daripada masalah sosial masyarakat dan membantu dari aspek kesihatan.

Keputusan tersebut bagaimanapun dipersoalkan oleh beberapa pihak lain antaranya Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Menurut Kok Wai, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memohon supaya garis panduan baharu itu ditarik balik. – Sinar Harian

Loading...