Laporan Tanah Runtuh Bukit Kukus Siap Minggu Depan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengkaji sama ada berlaku pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) kerja di tapak pembinaan lebuh raya berkembar Bukit Kukus, Pulau Pinang sehingga mengakibatkan tanah runtuh baru-baru ini.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata pada masa ini KPKT sedang menilai perkara itu dan laporan dijangka diperoleh minggu depan.

“Saya akan menerima laporan siasatan minggu depan. Kita akan lihat sama ada ia melanggar SOP atau tidak. Siasatan ini akan menjurus mengenai pematuhan Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Pindaan) 2018 (Akta 133) yang dipinda baru-baru ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Minggu lepas, Dewan Rakyat meluluskan pindaan terhadap Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Akta itu antara lain menetapkan setiap pembangunan di kawasan yang melibatkan kecerunan melebihi 25 darjah dan jumlah ketinggian menegak melebihi 10 meter adalah diwajibkan untuk menyediakan laporan geoteknikal yang ditentusahkan oleh pemeriksa bertauliah yang berdaftar dengan Lembaga Jurutera Malaysia untuk memastikan struktur bangunan selamat.

Sehingga 6 petang hari ini, sembilan mayat ditemukan terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, lima lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar, manakala seorang lelaki Bangladesh dilapor masih hilang dipercayai tertimbus dalam runtuhan itu.

Kejadian yang menimbus kontena serta rumah kongsi pekerja binaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu turut menyebabkan empat orang cedera terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh, dua wanita Indonesia, seorang daripadanya mengandung empat bulan, dan seorang wanita Kemboja. – BERNAMA

Loading...