Laporan ‘Penyeluk Saku Digital’ Tidak Benar – BNM

BANK Negara Malaysia (BNM) hari ini menegaskan kad ATM dan kad kredit yang dilengkapi ciri keselamatan baharu di bawah sistem PayWave tidak boleh diklonkan atau digunakan untuk transaksi tidak disahkan pemegang kad sendiri.

Sehubungan itu, BNM menafikan sekeras-kerasnya laporan media daripada sebuah akhbar tempatan berhubung infografik kaedah penyeluk saku digital yang telah tersebar luas di media sosial sejak semalam.

Laporan 'Penyeluk Saku Digital' Tidak Benar - BNM

BNM dalam satu kenyataan berkata, kad tanpa sentuh itu dilengkapi ciri keselamatan termasuk cip yang mengandungi kod dinamik bagi setiap transaksi.

Manakala bagi urus niaga kad dalam talian, pemegang kad dikehendaki memasukkan kod pengesahan transaksi (TAC) yang dihantar ke telefon mudah alih sebelum menjayakan sesuatu transaksi.

Ciri tersebut menyukarkan penggodam meneruskan transaksi atas ketiadaan akses kepada telefon pintar anda secara fizikal, menjadikan maklumat penting pada kad tidak boleh diperoleh dengan cara “electronic pick-pocketing”.

Ini bercanggah dengan apa yang diperkatakan oleh akhbar tersebut yang mana penggodam mampu memperoleh data dalam lingkungan satu 1 meter menggunakan gelombang NFC.

Ia terlalu jauh untuk penggunaan telefon pintar dengan bantuan NFC di mana teknologi NFC hanya akan berlaku proses pemindahan data apabila berada di bawah lingkungan 4cm.

BNM turut menasihatkan pemegang kad menghubungi bank dengan segera, jika kad mereka hilang atau dicuri atau nombor pengenalan peribadi (PIN) mereka terjejas atau berlaku transaksi tidak dibenarkan menggunakan kad mereka.

Terdahulu, menjadi tular beberapa video di laman sosial yang memaparkan bagaimana maklumat daripada kad ATM baharu itu terdedah dengan menggunakan aplikasi khas yang dapat memantulkan secara magnetik maklumat kad mereka. – MYNEWSHUB.CC

Loading...