Laporan Bedah Siasat Nora Anne Dirujuk Peguam Negara

SEREMBAN – Laporan bedah siasat mayat remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, akan terus dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Peguam keluarga Nora Anne, Sankaran Nair, berkata beliau akan meminta Peguam Negara untuk mempertimbangkan sama ada inkues perlu dilakukan dalam kes ini.

“Kebiasaannya kematian mengejut memerlukan inkues. Saya akan meminta Peguam Negara mempertimbangkan sama ada inkues diperlukan dalam kes ini.

“Buat masa ini, masih terlalu awal untuk menentukan kematian mangsa sama ada wujud unsur jenayah atau tidak, perlu tunggu laporan bedah siasat dikeluarkan sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

Mengulas lanjut, Sankaran berkata, keluarga mangsa turut hadir pada pagi ini sebagai prosedur sebelum bedah siasat dimulakan.

Ditanya mengenai tindakan yang akan diambil keluarga selepas ini, beliau berkata, perkara itu belum dibincangkan kerana perlu menunggu keputusan bedah siasat terlebih dahulu.

“Kami masih memikirkan tindakan seterusnya. Oleh kerana keluarga baru melalui satu detik yang sangat menyedihkan mungkin saya rasa mereka belum dapat menjelaskan tindakan selanjutnya.

“Sukar untuk saya gambarkan perasaan mereka ketika ini yang terlalu trauma dengan kejadian itu,” katanya yang pertama kali berjumpa keluarga itu hari ini.

Bagaimanapun, katanya, keluarga Nora Anne mengucapkan setinggi penghargaan kepada polis dan pihak berkuasa yang terbabit secara langsung dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, proses bedah siasat mayat Nora Anne bagi mengetahui punca sebenar kematian dijangka mengambil masa lebih tiga jam.

“Bedah siasat ini akan mengambil masa antara dua sehingga tiga jam sebelum laporan diperoleh,” katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.

Mayat remaja Ireland itu ditemui di kawasan hutan berhampiran resort penginapan keluarga remaja itu, pada jam 1.57 tengah hari semalam.

Ia ditemui sekumpulan pendaki sukarelawan yang turut menyertai operasi SAR. – BH Online

Loading...