Laporan Audit: Tunggakan Balik GST Berjumlah RM19.47 Bilion

KUALA LUMPUR – Tunggakan balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 5 Jun lepas berjumlah RM19.47 bilion melibatkan 122,580 Orang Kena Cukai (OKC).

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2, sejumlah RM1.45 bilion adalah tuntutan pulang balik oleh OKC yang telah disahkan oleh pegawai JKDM tetapi masih belum dibayar oleh akauntan JKDM disebabkan oleh baki peruntukan Kumpulan Wang bagi Pembayaran Balik GST tidak mencukupi, pulang balik ditahan secara manual oleh JKDM dan OKC dalam proses pengauditan oleh pegawai JKDM.

“Sejumlah RM9.65 bilion adalah tuntutan pulang balik yang masih dalam pengesahan oleh pegawai JKDM setakat 5 Jun tahun ini. Sejumlah RM3.90 bilion adalah tuntutan pulang balik oleh OKC yang tiada pembekalan bercukai iaitu OKC yang tiada cukai output.

“Selain itu, sejumlah RM0.95 bilion adalah OKC yang telah beri pelepasan Kementerian Kewangan (MoF) daripada membayar cukai tetapi dibenarkan untuk menuntut pulang balik. Sejumlah RM3.52 bilion adalah tuntutan pulang balik yang masih dalam siasatan dan pengauditan oleh JKDM,” menurut laporan itu.

Bagaimanapun, wujud perbezaan antara angka jumlah tunggakan balik GST yang dilaporkan JKDM dan Jabatan Audit Negara (JAN). Jumlah dilaporkan JAN adalah RM19.55 bilion dan daripada jumlah itu hanya RM1.41 bilion adalah tuntutan tunggakan pulang balik yang telah diluluskan tetapi belum dibayar kepada OKC sehingga 31 Mei tahun ini, menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, memandangkan sistem MyGST tidak digunakan selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Sept tahun ini, pihak Audit mengesyorkan tiga tindakan perlu diambil JKDM.

Tindakan pertama, JKDM hendaklah mengemukakan angka tunggakan bayaran balik yang telah disahkan kepada MoF untuk tindakan bayaran balik; tindakan kedua, JKDM harus menyelesaikan kes-kes OKC yang telah lewat menghantar penyata dengan mengenakan tindakan perundangan yang sewajarnya.

Tindakan ketiga pula, JKDM perlu menyelesaikan kes-kes tunggakan agar status sebenar tunggakan yang layak untuk dibayar balik boleh disahkan. – BERNAMA

Loading...