Laporan 1,684 P-Hailing Maut Ketika PKP Tersalah Tafsir – MOT

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini berkata laporan berita mengatakan 1,684 penunggang p-hailing maut dalam masa sembilan bulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020 adalah tersalah tafsir tanpa sengaja.

Menurut hantaran MOT di laman Facebook hari ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong ketika Kempen Keselamatan P-Hailing pada 9 April lalu (2021) tidak merujuk dua pertiga daripada keseluruhan angka 2,576 kematian jalan raya membabitkan penunggang p-hailing secara spesifik.

P-hailing ialah perkhidmatan penghantaran barangan dan makanan menggunakan motosikal.

MOT dalam hantaran itu turut menyiarkan petikan Wee pada kempen itu: “Walaupun dilaksanakan PKP, kematian tetap 12 sehari, dan jumlah ini tidak kecil. Jadi 60 peratus ke atas, hampir dua pertiga adalah penunggang motosikal secara umum, tapi bayangkan pada tahun lepas siapa yang banyak menggunakan jalan ketika PKP, adalah mereka yang terlibat di dalam ‘essential services’. Penghantaran makanan adalah ‘essential service’.”

MOT berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai mesej tular tentang angka kematian penunggang p-hailing yang diterbitkan oleh portal berita, media sosial termasuk aplikasi WhatsApp.

“MOT berharap laporan berita termasuk tangkap layar berkaitan angka yang tidak tepat dihentikan daripada terus disebarkan bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai,” kata kementerian itu. – BERNAMA