Lapor SPRM Jika Wujud Penyelewengan Kewangan Dalam KFA

ALOR SETAR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mendapati wujudnya penyelewengan kewangan dalam persatuan itu.

Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata mereka mendapati berlakunya salah laku yang membabitkan wang berjumlah jutaan ringgit dalam kepimpinan KFA yang terdahulu.

“Ada wang yang diberikan kepada KFA untuk tujuan tajaan tetapi ia tidak direkodkan di dalam akaun KFA tetapi apabila kita tanya kepada pihak yang memberi, mereka ada bukti bahawa bayaran telah dibuat tetapi ia tidak dicatat diterima dalam akaun KFA.

“Perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan kita akan siasat sepenuhnya dan jika perlu kita akan dapatkan khidmat nasihat daripada SPRM,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Eksekutif KFA di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Perkara itu akan dibincangkan bersama Jawatankuasa Integriti KFA yang dipengerusikan sendiri oleh wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Kedah manakala timbalan pengerusi jawatankuasa itu dipegang oleh wakil dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Mukhriz berkata KFA juga akan mengambil pegawai undang-undang tetap untuk menguruskan segala hal perundangan yang berlaku dalam persatuan itu.

“Pegawai undang-undang ini akan uruskan hal perundangan termasuk mengenai kontrak pemain dan jurulatih di mana sebelum ini ada isu di mana kita tidak dibenar untuk lepaskan pemain tanpa membayar pampasan kepada mereka,” katanya. – BERNAMA