Langkah Kawalan, Pencegahan Polio Giat Dilaksana Di Sabah

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah dan kerajaan negeri sedang melaksanakan tindakan kawalan dan pencegahan wabak polio yang dilakukan melalui tiga fasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata tindakan kawalan dan pencegahan wabak berkenaan diambil sejak kes pertama polio dilaporkan di negeri itu.

Hingga 21 Januari lalu, tiga kes polio disahkan di Sabah dan semua pesakit kini stabil.

“Bagi fasa satu, pemeriksaan kontak kes dan kajian najis bagi pengesanan virus polio daripada 20 kanak-kanak sihat, pemberian imunisasi polio menggunakan vaksin polio tidak aktif (IPV) kepada kanak-kanak cicir imunisasi polio di kawasan kes sudah selesai dijalankan.

“Kawasan berkenaan ialah Tuaran, Kinabatangan dan Sandakan. Tiada kes paralisis dikesan dan semua kanak-kanak sihat dan negatif virus polio,” katanya menerusi Facebook.

Bagi fasa dua yang sedang dilaksanakan, imunisasi polio dos 1 diberikan secara titisan ke mulut (OPV) kepada semua kanak-kanak berumur bawah lima tahun di Sabah menerusi Supplementary Immunisation Activity (SIA) di bawah Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS 2019/2020).

“Hingga 21 Januari, seramai 34,692 kanak-kanak berumur bawah lima tahun sudah diberikan vaksin polio oral (OPV).

“Sebanyak 17 daerah juga mula laksanakan KIPS 2019/2020 antaranya Tuaran, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Tenom dan Keningau hingga semalam dan ia akan diperluas ke daerah lain secara berperingkat,” katanya.

Pengurusan wabak polio di Sabah agak mencabar dan memerlukan kerjasama pelbagai agensi kerana terdapat banyak isu sosio-ekonomi yang terbabit.

“KKM ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada petugas kesihatan, JKN Sabah dan ibu pejabat KKM yang merancang dan menyusun strategi serta melaksanakan aktiviti tindakan kawalan dan pencegahan wabak ini.

“Semoga segala usaha akan membuahkan hasil dan Malaysia kembali memperoleh pengiktirafan sebagai negara bebas polio,” kata Dr. Noor Hisham.

Pada 8 Disember lalu, KKM memaklumkan seorang bayi lelaki berumur tiga bulan dari Tuaran, Sabah disahkan dijangkiti penyakit polio, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada virus polio.

Susulan insiden itu, pelbagai langkah berjaga dan advokasi diberikan bagi mengekang penyebaran wabak berkenaan daripada berleluasa.

Loading...