Landasan LTSAS Dipanjangkan Tahun Depan

IPOH – Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini, akan dinaik taraf tahun depan, antaranya membabitkan pemanjangan landasan sedia ada bagi membolehkan kapal terbang bersaiz lebih besar mendarat, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata kerajaan negeri merancang untuk memanjangkan landasan di LTSAS kira-kira 500 meter lagi, bagi menambah panjang landasan 2 kilometer sedia ada.

Katanya, kerajaan negeri juga merancang untuk menambah baik atau memperbesarkan bangunan terminal sedia ada untuk keselesaan orang ramai.

“Kerajaan negeri menerima beberapa cadangan daripada pihak swasta untuk membuat beberapa tarikan lain di sekitar lapangan terbang ini dan kita amat sambut baik dan kita jangkakan ia boleh mula tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut penerbangan sulung AirAsia secara terus dari Singapura ke Ipoh di LTSAS di sini hari ini.

Penerbangan tersebut yang membawa 166 penumpang berlepas dari Terminal 4 Lapangan Terbang Changi, Singapura pada pukul 11.40 pagi dan tiba di LTSAS pada pukul 1 petang tadi.

Beliau berkata walapun kerajaan negeri mahu menaik taraf LTSAS, namun hasrat membina lapangan terbang baharu bertaraf antarabangsa di Perak tetap diteruskan sebagai antara usaha untuk menarik kehadiran pelancong asing.

Ahmad Faizal masih memberi bayangan bahawa lokasi sesuai bagi pembinaan lapangan terbang baharu itu adalah di daerah Batang Padang atau Muallim, berbanding cadangan awal di Seri Iskandar.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata beliau menyambut baik saranan Anggota Dewan Undangan Negeri Aulong Nga Kor Ming dalam persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini yang mahu kerajaan negeri menjual Movie Animations Park Studios (MAPS) di sini, sebagai usaha untuk mengurangkan beban kewangan pihak pentadbiran.

“Saya menerima baik pandangan daripada semua anggota dewan undangan negeri dengan perkara-perkara seperti ini dan apa jua perkara sebenarnya, mungkin saya fikir YB (yang berhormat) Aulong tidak mendapat maklumat terkini tentang apa yang telah dan sedang berlaku di taman tema berkenaan,” katanya.

Jelas Ahmad Faizal, pihak pengurusan MAPS melakukan yang terbaik dan sehingga kini jumlah pengunjung ke taman tema itu meningkat secara mendadak dan sekiranya usaha mempromosi MAPS diteruskan, ia akan menjadi destinasi tarikan utama di bandaraya Ipoh.

“Kalau sesuatu perkara itu merugikan syarikat milik kerajaan, kita perlu ambil tindakan drastik seperti menutup (MAPS)… sekarang ini faktanya jumlah pengunjung meningkat dengan mendadak, jadi atas perkara itu kita perlu teruskan,” katanya. – BERNAMA

Loading...