Laman Rasmi Facebook Sultan Johor Cecah Sejuta Pengikut

JOHOR BAHRU – Laman rasmi Facebook Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencecah sejuta pengikut (followers) hari ini, sekali gus menjadikan wadah komunikasi penting antara baginda dengan rakyat jelata.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam laman berkenaan, Sultan Ibrahim menzahirkan terima kasih di atas perkara tersebut.

“Hari ini, laman Facebook saya sudah mencecah satu juta pengikut. Terima kasih semua,” titah Sultan Ibrahim.

Menurut hantaran terbabit, Facebook merupakan antara medium sosial penting yang digunakan Sultan Ibrahim untuk menyampaikan pelbagai nasihat serta perkara penting dari semasa ke semasa kepada rakyat Johor.

Halaman itu, bukan sahaja menyiarkan pelbagai aktiviti-aktiviti serta sumbangan mengenai Sultan Ibrahim dan Keluarga Diraja Johor, malah menjadi ruangan yang membolehkan rakyat turut menyampaikan pandangan atau idea mereka.

Sultan Johor sememangnya amat dekat di hati rakyat malah baginda juga sentiasa melawat pelbagai kawasan penempatan di seluruh Johor, dengan program Kembara Mahkota Johor merupakan acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyat.

Menurut hantaran itu, selain Facebook, Sultan Ibrahim turut mempunyai medium laman sosial Instagram, malah aktiviti-aktiviti baginda turut dimuat naik di dalam YouTube.

Sementara itu, Pejabat Media dan Komunikasi rasmi Keluarga DiRaja Johor iaitu Royal Press Office (RPO) menenerusi kenyataan berkata angka sejuta pengikut tersebut dicapai pada 8.37 pagi tadi.

Daripada sejuta pengikut itu, 321,118 daripadanya adalah dari Johor, diikuti Kuala Lumpur (103,745) dan Singapura (46,585).

“Laman rasmi Facebook yang mula beroperasi sejak 31 Mei 2015, turut menunjukkan majoriti pengikut baginda adalah golongan lelaki dengan sebanyak 59 peratus, yang kebanyakannya dalam kategori umur 25 hingga 34 tahun atau sebanyak 40 peratus,” menurut kenyataan terbabit.

Populariti Sultan Johor meningkat dari semasa ke semasa hasil perkongsian baginda mengenai perihal rasmi serta perkongsian istimewa hobi-hobi baginda seperti memasak dan bersukan. – BERNAMA