Lahirkan Lepasan Usahawan Teknologi Elektrik, Hibrid

BANGI – Pusat latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu melahirkan lepasan yang berkemahiran dalam teknologi elektrik dan hibrid serta mampu menghasilkan tekno usahawan berasaskan teknologi berkenaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata usaha perlu dibuat bagi mengerakkan teknologi kenderaan elektrik dan hibrid seperti ketika Proton ditubuhkan dahulu dalam menghasilkan vendor automatif tempatan.

“Peralihan teknologi pacuan bermotor automatif daripada enjin pembakaran dalaman kepada teknologi elektrik dan hibrid adalah satu trend penentu yang memaksa semua yang terlibat dalam bidang automatif terpaksa ikut berubah dari aspek pengetahuan, kemahiran dan infrastruktur,” katanya.

Berucap pada seminar Technology Update Zukunftige Automobile-Future Automative di German-Malaysian Institute (GMI) di sini hari ini, Mahfuz berkata pereka kereta, pengilang, vendor, pusat servis kereta dan pekerja semuanya perlu membuat anjakan paradigma untuk kekal relevan.

Seminar sehari tersebut bertujuan menjadi platform perkongsian ilmu dan idea dari pihak industri kepada peserta yang terdiri daripada pengajar-pengajar kemahiran dalam bidang automatif.

Lebih 200 peserta yang terdiri daripada tenaga pengajar pusat latihan awam dan swasta, pensyarah universiti awam dan swasta serta pemain industri automatif termasuk Proton, Mazda dan Toyota menghadiri seminar berkenaan. – BERNAMA

Loading...