Lagi Kluster Baharu COVID-19 Dikesan Di Sarawak

PUTRAJAYA – Satu kluster baharu dikesan melibatkan sebuah hospital di Kuching, Sarawak, dikenali sebagai ‘Kluster Sentosa’, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Beliau berkata sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 61 orang daripada kluster itu  telah disaring dengan lima didapati positif COVID-19 manakala 56 adalah negatif.

“Kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-8773) merupakan seorang petugas kesihatan yang telah mengalami gejala saluran pernafasan pada 13 Julai dan dikesan positif COVID-19 pada 19 Julai.

“Susulan itu, siasatan dan aktiviti pengesanan kes secara aktif telah dijalankan. Kesemua kes ini sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan COVID-19 di sini.

Dr Noor Hisham berkata perkhidmatan hospital tersebut masih diteruskan namun tidak lagi menerima pesakit dalam, manakala pesakit luar pula dirujuk ke hospital berdekatan untuk sementara waktu.

Langkah pembendungan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar sedang dijalankan, katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut meluahkan kebimbangan terhadap masyarakat yang dirasakan beliau sudah mula tidak memberi perhatian kepada kepentingan melindungi warga emas daripada jangkitan COVID-19. 

Beliau berkata orang ramai sewajarnya mengamalkan langkah pencegahan jangkitan terutamanya memakai pelitup separuh muka, amalan kebersihan tangan yang tinggi  serta jarakan sosial apabila berada dalam kalangan golongan ini.

“Setakat 12 tengah hari tadi,  69.1 peratus daripada keseluruhan kematian akibat COVID-19 di Malaysia adalah dalam kalangan warga emas. Tambahan pula, baru-baru ini telah dilaporkan satu lagi kes kematian COVID-19 melibatkan warga emas iaitu daripada Kluster Rumah Warga Emas Kluang.

“Setakat ini, kluster itu telah melaporkan 11 warga emas yang dikesan positif COVID-19,” katanya yang menggesa ahli masyarakat, khususnya keluarga serta penjaga memastikan golongan tersebut sentiasa dilindungi daripada jangkitan COVID-19. – BERNAMA

Loading...