Ladang Pertanian Bandar Dibangunkan Bantu Gelandangan

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan akan membangunkan ladang berkonsep pertanian bandar (urban farming) bagi membantu meningkatkan taraf kehidupan gelandangan di bandar.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata ladang itu akan dibangunkan berdekatan penempatan gelandangan yang disediakan kementerian, namun tidak memaklumkan lokasi terbabit.

Beliau berkata, usaha itu adalah inisiatif terbaru dilakukan kementeriannya, sekali gus dapat memberi pekerjaan dan penempatan selesa kepada golongan berkenaan.

“Kali ini, kita mahu mengambil pendekatan berbeza. Sebelum ini, kita memberi mereka pekerjaan tetapi ada juga segelintir daripada mereka yang memilih tidak mahu bekerja.

“Justeru, kita menyediakan konsep baharu. Kita meminta mereka membantu di ladang yang terletak hanya di seberang jalan penempatan mereka.

“Mereka boleh bekerja di ladang itu dan menjual hasilnya,” katanya pada sidang media secara dalam talian, hari ini. 

Annuar berkata, konsep pertanian bandar itu sudah lama difikirkan dan beliau mahu bekerjasama dengan kerajaan negeri berhubung pemberian tanah untuk ladang terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, hasil kaji selidik mendapati golongan gelandangan berkenaan tidak mahu menetap di negeri lain.

“Kebanyakan mereka tidak mahu duduk jauh, lebih selesa berada di bandar. Atas sebab itu, kita menyediakan ladang berkenaan di Kuala Lumpur,” katanya. 

Mei lalu, media melaporkan kira-kira 800 gelandangan diselamatkan secara berperingkat dan ditempatkan di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul; Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir, Desa Pahlawan; Pusat Komuniti Setiawangsa dan Dewan Serbaguna Alam Damai, Cheras.

Sebahagian daripada mereka kini turut diberi pekerjaan selepas menjalani beberapa sesi temu duga dijalankan Kementerian Wilayah Persekutuan bersama agensi lain. – BH Online