KWSP Beli Bangunan Ibu Pejabat Sports Direct Di UK

LONDON – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaporkan membeli bangunan ibu pejabat Sports Direct International Plc. di United Kingdom (UK) bernilai 120 juta pound (RM640 juta).

Menurut laporan The Sunday Times yang memetik sumber, Sports Direct yang dikuasai jutawan Mike Ashley berkata, pada 17 Mei lalu pihaknya mengadakan rundingan peringkat akhir bagi tujuan penjualan hak milik bebas ke atas hartanah miliknya itu di Shirebrook, di tengah England, termasuk kompleks gudang dan pusat pengedaran, kepada KWAA Logix Sportivo Ltd.

The Times melaporkan bahawa KWSP adalah pemilik KWAA Logix Sportivo.

Peruncit sukan dari UK itu juga berkata, apabila perjanjian itu dimuktamadkan, ia akan memajak hartanah di Shirebrook itu bagi tempoh 15 tahun dan mengendalikannya sebagai pusat pengedaran, pejabat dan perniagaan runcit seperti biasa. – Agensi

Loading...