“Kutuk Saya, Jangan Kaitkan Ibu Saya” – Ismail Izzani

PENYANYI muda, Ismail Izzani berharap orang ramai supaya tidak mengaitkan ibu juga merupakan penyanyi zaman 1980-an iaitu Datin Suliza dengan isu putus cinta melibatkan dirinya.

Penyanyi berusia 18 tahun itu berkata, dia mengakui agak terkilan apabila ibunya turut ‘diheret’ dan terkena tempias kutukan netizen di media sosial.

“Saya ada kongsi foto bersama mama di laman Twitter dan gambar itu menjadi tempat netizen berbalah dan meninggalkan kecaman yang agak menyakitkan hati.

“Sebagai anak, saya turut terasa apabila mama terheret dalam isu ini. Saya tak kisah jika mereka hanya bercakap pasal saya tapi janganlah babitkan mama,” kata Ismail dipetik mStar Online, hari ini.

Pun begitu, Ismail berkata dia tidak mampu untuk menghalang hemburan kecaman netizen sebaliknya hanya dapat mendoakan agar semoga segalanya dipermudahkan dan baik-baik sahaja.

“Tapi iyalah, saya tak mampu halang itu semua. Saya hanya mampu berdoa semoga mama sihat dan semuanya baik-baik sahaja,” ujar pelantun lagu Luar Biasa itu.

Sementara itu, Ismail memberitahu lebih selesa mengambil pendekatan untuk mengunci mulut dan tidak membalas komen negatif berkenaan.

Katanya, orang luar tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku dan mereka hanya menjadi ‘malaikat penghukum’ dengan andaian sendiri.

Malah, tidak kurang juga yang menjadi ‘nasi tambah’ sehingga membuatkan keadaan sedia ada semakin keruh.

“Saya lebih selesa untuk diamkan diri dan tak balas komen yang menyakitkan hati itu. Biarlah sebab mereka tak tahu apa yang berlaku.

“Awalnya saya agak putus asa dengan apa yang terjadi, tapi mama bagi semangat untuk saya jadi kuat semula dan dia selalu pesan kepada saya inilah cabaran bergelar anak seni.

“Saya masih muda dan banyak lagi benda perlu belajar. Jadi, saya mahu move on dan teruskan karier seperti biasa,” katanya.

Baca: Didakwa Curang 6 Kali, Ismail Izzani Mohon Maaf

Terdahulu, Ismail menjadi sasaran ramai apabila seorang ‘Instafamous’ dikenali Sharifah Rose mendakwa remaja itu berlaku curang terhadapnya sebanyak enam kali.

Bagaimanapun, penyanyi itu dengan tenang mengakui semua kesalahan dan kemudiannya meminta maaf secara terbuka kepada semua pihak berhubung perkara tersebut.

Malah, Ismail juga mengakui menyesal kerana menyakiti hati teman wanitanya itu selain memberitahu bahawa apa yang dilakukan itu berpunca daripada dirinya yang tidak berfikir dengan baik. – MYNEWSHUB.CC/AM

Loading...