Kutipan Cukai Langsung 2018 RM137.035 Bilion

PUTRAJAYA – Sebanyak RM137.035 bilion dikutip menerusi kutipan kasar cukai langsung negara oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun lalu sekali gus menunjukkan peningkatan 11.13 peratus atau RM13.723 bilion berbanding 2017.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, jumlah kutipan itu mencipta satu sejarah baharu kutipan hasil cukai langsung negara dan turut mengatasi pencapaian terbaik kutipan cukai langsung yang direkodkan pada 2014 iaitu sebanyak RM133.700 bilion.

“Kutipan cukai langsung bagi 2017 iaitu sebanyak RM123,312 bilion. Peningkatan yang dicatatkan pada tahun lalu disumbangkan oleh peningkatan kutipan daripada komponen pembayar cukai seperti syarikat, individu, petroleum, koperasi, duti setem dan lain-lain.

“Situasi itu juga mencerminkan keberkesanan kepimpinan bersih dan pentadbiran cekap, akauntabiliti dan telus. Peningkatan hasil ini juga menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi masih menggalakkan pada pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Guan Eng, kutipan hasil daripada cukai pendapatan selain petroleum telah menyumbang kira-kira RM116.953 bilion atau 85.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan pada tahun lalu.

Jelasnya, prestasi kutipan yang memberangsangkan itu merupakan kesan daripada strategi efektif dan berkesan berkaitan percukaian yang ditetapkan oleh pentadbirsn Kerajaan Pakatan Harapan selepas kejayaan dalam Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu. – K! ONLINE