Kumpulan Militan Rancang Sabotaj Better Beer Festival

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menyatakan pendiriannya membantah penganjuran pesta arak Better Beer Festival 2017 di Malaysia yang sedang hebat dipertahankan oleh pemimpin dan penyokong pembangkang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, bantahan PDRM itu disebabkan faktor keselamatan kerana pasukan keselamatan itu menerima maklumat wujud perancangan oleh kumpulan militan untuk melakukan sabotaj keatas pesta arak berkenaan.

“PDRM tidak menyokong penganjuran Better Beer Festival 2017 atau sebab-sebab keselamatan. Terdapat maklumat wujud perancangan oleh pihak militan yang akan melakukan sabotaj kerana menganggap ia bertentangan dengan perjuangan mereka.

“Maklumat juga mendedahkan bahawa wujud beberapa pihak yang merancang untuk menimbulkan kekacauan semasa festival tersebut berlangsung dan ini bakal menimbulkan satu situasi keselamatan.

“Bagi mengelakkan sebarang insiden di luar kawalan berlaku, PDRM harus bertindak proaktif dengan mendirikan bantahan terhadap penganjuran festival tersebut demi menjaga ketenteraman awam dan keselamatan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramai pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan berang dengan keputusan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) mengharamkan Better Beer Festival 2017 yang dijadualkan berlangsung di ibu negara Oktober ini.

Penyokong pembangkang termasuk yang beragama Islam mendakwa Malaysia bukan hanya umat Islam tinggal di negara ini, maka pesta arak itu perlu diteruskan atas nama hak asasi.

Lima Ahli Parlimen DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) malah mengeluarkan kenyataan bersama menyelar keras pihak berkuasa tempatan itu dan mengugut DBKL supaya tidak berlagak menjadi jaguh agama.

“Kami rasa kesal kerana kerajaan tempatan seperti DBKL cuba alih pandangan dengan berlagak jadi jaguh agama,” kata mereka.

Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dianggotai oleh DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR dan Parti Amanah Negara (PAN). – MYNEWSHUB.CC