Kumpulan Azmin Ikrar Sokong Mahathir

KUMPULAN 11 ahli parlimen yang dipecat dan keluar dari PKR mengulangi sokongan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menerajui negara sehingga habis penggal bagi melaksanakan rekonsiliasi nasional.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan hari ini, mereka berkata, dalam keadaan negara menghadapi pelbagai tekanan penguncupan ekonomi dunia ke atas ekonomi domestik dan wabak penyakit Covid 19, perlu penyatuan dan sokongan penuh kepada Perdana Menteri dengan mengetepikan politik sempit serta menjurus kepada perpaduan nasional yang berpaksikan aspirasi rakyat.

Kenyataan itu juga menyebut, mereka mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang kekal tenang memerhatikan perkembangan politik yang berlaku dalam negara.

“Rakyat Malaysia menampilkan kematangannya dalam mengharungi arus perkembangannya. Meskipun anda mengikuti peristiwa ini dengan teliti dan ghairah melalui media konvensional dan media sosial, anda terus tekun menjalankan tanggungjawab, terus ke pejabat, ke kilang, ke ladang dan ke laut seperti biasa.

“Kami amat terkesan dengan sikap berimbang dan saksama rakyat Malaysia. Kami merasai denyut nadi kehidupan anda. Aspirasi anda akan kami penuhi,” katanya dalam kenyataan itu.

Isnin lalu, PKR memutuskan memecat Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, berkuat kuasa serta-merta.

Ia disusuli 11 Ahli Parlimen mewakili parti itu mengisytiharkan keluar parti dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk blok bebas di Dewan Rakyat.

Mereka yang keluar ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok) ,Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau). – myMetro Online

Loading...