Kula Segaran Yakin Pindaan IRA 1967 Dapat Sokongan

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia yakin mendapat sokongan Ahli Dewan Negara untuk meluluskan pindaan terhadap Akta Perhubungan Perusahaan (IRA) 1967 yang akan dibentangkan di Dewan Negara minggu ini.

Menterinya, M Kula Segaran berkata, walaupun mendapat bantahan daripada Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), pihaknya tetap akan meneruskan pembentangan IRA 1967 dan dalam masa sama menghormati pandangan semua pihak.

“Kerajaan yakin (akta akan diluluskan) kerana itu saya bawanya. Ini akan bagi manfaat kepada rakyat. Kita yakin (akan diluluskan), kalau tidak, kita tidak bawa (akta ini untuk dibentangkan).

“(Pindaan IRA 1967) ini untuk kemakmuran dan kesejahteraan pada pekerja di negara ini,” katanya kepada media selepas menghadiri Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia di sini hari ini.

Sementara itu, Kula Segaran berkata, kementerian berkenaan telah menganjurkan Hari Bertemu Pelanggan di sini sebanyak 48 kali dari Januari hingga hari ini melibatkan penyertaan 16 agensi di bawah kementerian dan seramai 2,145 pelanggan telah menghadirinya.

“Setiap Selasa dari jam 8 hingga 10 pagi, kita adakan program bertemu rakyat dan di sini, agensi yang terlibat akan membantu mereka yang mempunyai masalah atau isu secara berdepan.

“Sebagai contoh, ada kes yang dia sukar nak mendapatkan pekerja asing dan kita bantu mereka untuk menyelesaikan masalahnya. Ini adalah satu kewajipan kerajaan Pakatan Harapan untuk menolong ramai orang supaya mereka boleh menikmati apa yang kita sudah janji,” katanya.

Beliau berkata, antara isu yang sering diutarakan semasa Hari Bertemu Pelanggan ialah yang melibatkan pekerja asing, Skim Perlindungan Keselamatan Sosial, Pemulihan Kerja mengikut Seksyen 20 APP 1967 dan khidmat nasihat perburuhan.

Loading...