Kula Minta Rujuk KDN Isu Ambil 100,000 Pengawal Pakistan

PUTRAJAYA – Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran meminta media merujuk Kementerian Dalam Negeri berhubung rundingan antara Malaysia dan Pakistan mengenai pengambilan antara 100,000 hingga 150,000 pengawal keselamatan, seperti yang dilaporkan media negara itu.

Beliau meminta media mengesahkannya dengan KDN memandangkan ia berkenaan pekerja berkaitan keselamatan.

“Kalau mereka mohon pekerja kita proses tetapi nak angka perlu pergi (ke KDN) dan keputusan sebagainya dibuat oleh KDN,” katanya ketika ditemui di program bersama pelanggan di Kementerian Sumber Manusia hari ini.

Bekas perdana menteri Najib Razak sebelum ini berkongsi laporan akhbar Pakistan, The Nation pada 3 Februari lalu melaporkan Malaysia sedang berunding dengan Pakistan untuk mengambil pengawal keselamatan selepas ia menghentikan pengambilan dari negara lain.

Pesuruhjaya Tinggi Pakistan di Malaysia Amna Baloch dipetik sebagai berkata rundingan awal antara kedua negara diadakan di peringkat tertinggi, manakala modaliti untuk merasmikan proses pengambilan sedang diusahakan.

“Telah dipersetujui oleh pimpinan tertinggi kedua negara. Perjanjian ditandatangan masa perdana menteri Pakistan lawat Malaysia minggu lepas,” kata Najib di Facebook, merujuk kepada lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Imran Khan pada 3 Februari lepas.

Sementara itu, Kula menafikan dakwaan mengatakan rakyat tempatan tiada peluang pekerjaan.

Beliau berkata setakat ini sudah ada 700,000 peluang pekerjaan di seluruh negara.

“Bukan sahaja pekerjaan bawahan tetapi ada kerja seperti pengurus, penolong pengurus, peguam dan akauntan.

“Nasihat, masyarakat di Malaysia sesiapa ingin kerja, tolong pergi ke protal Jobs Malaysia. Di sana akan beri lalaun dan beritahu tempat,” katanya. – FMT

Loading...