Tidak Pindah Kuil Hingga Capai Penyelesaian

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor beri jaminan tidak akan memindahkan atau merobohkan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25,…

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor beri jaminan tidak akan memindahkan atau merobohkan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, dekat sini, sehingga penyelesaian menyeluruh dicapai berhubung isu kuil berkenaan.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata kerajaan negeri juga bersedia menjadi orang tengah bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu pertikaian perpindahan kuil itu.

“Sehingga satu penyelesaian menyeluruh dapat dibuat, saya beri jaminan tidak ada sebarang perobohan terhadap kuil terbabit,” katanya pada sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan mengambil kira keputusan mahkamah berhubung injuksi pemindahan kuil pada 11 Januari ini dalam usaha mencari penyelesaian isu berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri akan memulakan perbincangan dengan pihak yang terlibat iaitu kuil dan pemaju tanah, One City Development Sdn. Bhd., selewat-lewatnya Selasa depan.

“Kami akan mencadangkan beberapa ​​​​​​​beberapa pilihan bagi memastikan situasi ‘menang-menang’ dalam mencari penyelesaian menyeluruh berhubung isu kuil berkenaan,” katanya.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy, Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Amirudin, bagaimanapun, berkata pihak berkaitan termasuk pemaju dan anggota jawatankuasa kuil tidak cetuskan sebarang provokasi serta kekecohan di kawasan kuil sebelum kata putus mengenai status kuil tersebut dibuat.

“Saya letak syarat bahawa selepas ini tidak ada lagi sebarang perhimpunan dan juga provokasi serta pihak berkaitan perlu mengikut arahan daripada kerajaan negeri supaya keamanan dapat dicapai di kawasan terbabit,” katanya.

Menurutnya, perbincangan itu juga akan dilakukan dalam dua cara sama ada melakukan perbincangan semeja bersama semua pihak berkenaan atau secara berasingan. – BERNAMA

Loading...