Thursday, April 18, 2024

Creating liberating content

Cuba Mengundi, Wanita Positif...

JOHOR BAHRU: Seorang wanita dikompaun RM1,000 kerana hadir ke pusat mengundi dalam tempoh...

Bekalan Air Di KL,...

KUALA LUMPUR - Bekalan air di beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Gombak...

Ditembak Mati Selepas Terima...

BULACAN - FILIPINA. Seorang ratu cantik negara itu ditembak mati selepas membuka pintu...

Letupan Tianjin: Angka Korban...

ANGKA kematian akibat letupan kuat di bandar pelabuhan Tianjin meningkat kepada 112 orang...

Kuasa Fenomena, Keinsafan Munafik 2

SEBUT sahaja filem Munafik, pasti ramai yang membayangkan sebuah karya seram yang mencetus fenomena tersendiri pada 2016.

Dua tahun kemudian, sekuelnya Munafik 2 kini kembali menghantui jiwa khalayak dengan pengisian yang jauh lebih berat dan mendalam.

Sejujurnya, penceritaan Munafik dan Munafik 2 arahan Syamsul Yusof ini bukanlah sebuah naskhah yang berpaksikan elemen seram atau hantu semata-mata. Ia diselitkan dengan inti pengajaran berhubung syirik yang bertentangan dengan agama, namun berlaku dalam masyarakat kita.

Menerusi Munafik 2, Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-57 itu membawa penonton mendekati kisah ketua ajaran sesat bernama Abuja yang sanggup membunuh demi mengangkat darjat diri lebih tinggi daripada Allah dan Rasul.

Kejayaan yang diraih menerusi Munafik pertama sememangnya memberi tekanan kepada Syamsul dalam pembikinan filem kedua kerana menyedari harapan menggunung peminat.

Oleh sebab itu, proses untuk menyiapkan Munafik 2 mengambil masa lebih setahun kerana ada sahaja yang tidak kena di mata Syamsul yang inginkan kesempurnaan dan banyak perubahan saat akhir dibuat pada karyanya itu.

“Apabila saya melakukan sesuatu, saya mahu puaskan hati sendiri dahulu, barulah saya yakin dapat memuaskan hati penonton di luar sana.

“Bagi setiap lontaran ayat al-Quran yang dibaca sewaktu babak-babak berdepan rasukan jin, saya rujuk kepada ustaz yang berada dalam mood bersedia setiap kali dihubungi untuk rujukan,” kata Syamsul yang tidak menolak kemungkinan masih ada sambungan kisah Ustaz Adam yang dilakonkannya.

Menyentuh sedikit tentang jalan cerita Munafik 2, ia lebih seram berbanding yang pertama dan isu ajaran sesat yang dibangkitkan juga sedikit sebanyak membuka mata ramai tentang realiti masyarakat.

Namun, apa yang menarik berkenaan filem berkenaan, seram atau ketakutan yang dirasai tidak mampu mengatasi perasaan insaf serta sedih yang lebih mendominasi jiwa penonton terutamanya apabila menghampiri penghujung cerita.

Syamsul bijak menunjukkan kehebatan kuasa sihir ilmu hitam yang patut digeruni, namun tidak sedikitpun ia mampu menandingi kekuasaan Yang Maha Esa andai teguh keimanan.

Kekejaman watak Abuja lakonan Nasir Bilal Khan juga menyedarkan penonton betapa masih ada manusia yang terpesong jauh daripada ajaran Islam sebenar.

Bagi mereka yang sudah terbiasa melihat Nasir dengan watak yang berhemah, inilah masanya untuk menyaksikan sisi berbeza aktor itu yang lari jauh daripada watak Tok Adi seperti dalam siri drama Tanah Kubur.

Kata Nasir, sudah lama dia menanti watak antagonis sebegini dan tidak sabar dibenci orang kerana karakter Abuja, asalkan peminat belajar sesuatu daripada apa yang mereka tonton.


“Bagi membawakan watak seperti Abuja, saya memerlukan ilmu dan pembacaan yang mendalam agar penjiwaannya lebih terasa.

“Saya berharap apabila penonton datang menyaksikan Munafik 2 di pawagam, mereka pulang dengan ilmu baharu dan akan mengingati filem ini biarpun sudah 10 tahun berlalu,” jelasnya penuh harapan.

Peluang kedua

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa dua tahun lalu semasa Syamsul ingin membikin Munafik, nama Maya Karin ialah antara heroin yang menjadi pilihan utama bagi watak Maria.

Namun sayangnya, Maya ada urusan di London dan tidak dapat memenuhi tawaran Syamsul. Tempat Maya kemudiannya diganti aktres Nabila Huda yang akhirnya merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-28 bagi watak tersebut.

Menurut Maya, dia tidak berasa ralat kerana terpaksa menolak kerjasama dalam Munafik dan menganggap watak itu bukan ditakdirkan buat dirinya.

Jadi, apabila tawaran sama diterima bagi Munafik 2, aktres yang sudah terkenal dengan watak dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam itu tidak berfikir dua kali untuk bersetuju dan memberikan ‘200 peratus’ komitmen sewaktu penggambaran.

“Saya ikutkan sahaja apa yang Syamsul inginkan. Dicampak, dibelasah atau perlu memanjat pokok sewaktu dirasuk semuanya saya lakukan sebagai bukti kesungguhan saya dalam filem ini selepas tidak berpeluang melakukannya untuk bahagian pertama.

“Saya berpuas hati bekerja dengan Syamsul kerana dia seorang yang sangat teliti dengan setiap inci filem biarpun fikirannya berubah 100 kali dalam masa satu jam,” ujarnya yang berharap akan bekerjasama lagi dengan Syamsul pada masa depan.

Lakonan Maya selaku Sakinah dalam Munafik 2 layak diberi pujian dan kredit terutamanya menerusi babak-babak dirasuk kerana ia diterjemahkan dengan begitu meyakinkan dan membuatkan penonton hanya mampu mengintai dari celahan jari.

Kemampuan wanita kacukan Melayu – Jerman itu melontarkan suara garau sewaktu babak dirasuk tanpa perlu diubah suai sewaktu proses alih suara atau dubbing membuktikan Maya tahu apa yang dilakukannya sewaktu menghidupkan watak Sakinah.

Secara keseluruhannya, Munafik 2 adalah sebuah filem seram dakwah yang mampu membangkitkan keinsafan dalam diri. Ia juga naskhah wajib ditonton buat peminat yang mahukan kelainan dalam kisah hantu Melayu yang kebiasaannya sekadar berlandaskan plot cinta, cemburu dan iri hati.

Syamsul juga ada menyatakan, fokus utamanya bukanlah keuntungan semata-mata kerana jika jalan cerita menarik dan memberi pengajaran bernilai kepada penonton, ia sudah cukup menandakan kejayaan buat kerja pengarahannya. – KOSMO ONLINE

Kategori