KSU, Majikan Perlu Sedia Surat Kebenaran Perjalanan

PUTRAJAYA – Semua Ketua Setiausaha di kementerian yang menyediakan perkhidmatan keperluan, perlu mengeluarkan surat kebenaran perjalanan kepada semua kakitangan yang bertugas, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat khas menteri-menteri berhubung Perintah Kawalan Pergerakan pagi tadi memutuskan, arahan tersebut turut meliputi semua majikan di sektor swasta, yang ditakrifkan sebagai perkhidmatan keperluan.

Ismail Sabri menjelas, surat itu bagi memudahkan pergerakan pekerja yang menetap jauh dari tempat kerja, khususnya yang terpaksa merentas antara negeri atau daerah.

“Di sekatan jalan raya, timbul isu apabila ada petugas (awam dan swasta) terpaksa berpatah balik ke rumah, kerana tiada bukti mereka diarahkan bekerja.

“Surat itu perlulah dibawa apabila pergi dan pulang dari kerja, pamerkan surat kepada pihak polis ketika sekatan jalan raya,” katanya pada sidang media di sini.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 18 Mac hingga 31 Mac ini, sebagai langkah membendung penularan COVID-19 di negara ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, sekali lagi mengingatkan selain mereka yang bekerja di sektor perkhidmatan keperluan, pergerakan orang ramai dari negeri ke negeri atau dari daerah ke daerah lain, adalah tidak dibenarkan sama sekali dalam tempoh PKP, kecuali bagi kes-kes kecemasan seperti kematian keluarga terdekat dan kes perubatan.

Menteri Kanan itu turut berkata hasil mesyuarat jawatankuasa tersebut, kerajaan bersetuju untuk menanggung perbelanjaan makanan semua pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA dan IPTS) yang tinggal di asrama atau kolej, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Ismail Sabri menjelaskan, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pentadbiran IPTA dan IPTS masing-masing, dari segi bentuk perlaksanaan dan agihan, bantuan makanan itu.

“Sebanyak 74,530 pelajar (IPTA dan IPTS) dengan kos bantuan RM15 sehari selama 11 hari. Anggaran peruntukan bantuan ini melibatkan kos sebanyak RM12,297,450,” katanya.