KSN Mohon Maaf Khilaf Jemputan Mesyuarat Khas Covid-19

KUALA LUMPUR – Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali hari ini memohon maaf berikutan kekhilafan isu jemputan untuk Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi menangani penularan koronavirus (Covid-19).

Dalam satu kenyataan, beliau bagi pihak urusetia mesyuarat memohon maaf di atas kekhilafan yang timbul berkaitan dengan jemputan yang hanya dikeluarkan kepada semua Menteri Besar dan Ketua Menteri kerajaan negeri dari parti komponen kerajaan Persekutuan.

“Bagi Negeri Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah, hanya Pengarah Pembangunan Negeri yang dijemput hadir,” katanya.

Jelasnya, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan agar semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dijemput hadir tanpa ada sebarang pengecualian ke mesyuarat khas yang diadakan di Putrajaya petang tadi.

“Sekali lagi ditegaskan, bahawa Perdana Menteri memandang serius tentang perkara ini dan menyatakan pendirian jelas beliau untuk bekerjasama dengan semua kerajaan negeri tanpa mengambil kira apa jua latar belakang parti politik khususnya berkaitan perkara yang menjadi kepentingan utama negara seperti wabak koronavirus (Covid-19),” katanya.

Zuki berkata, Muhyiddin juga telah mengeluarkan arahan supaya semua Menteri Besar dan Ketua Menteri dijemput hadir mesyuarat khas bagi menangani penularan Covid-19 pada masa akan datang.

Hari ini, Pakatan Harapan (PH) melahirkan rasa kesal kerana mendakwa Muhyiddin tidak mengundang Menteri Besar dan Ketua Menteri daripada parti itu pada mesyuarat khas bagi menyelaraskan Perintah Kawalan Pergerakan antara negeri.

Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan berkata, sekiranya ia disebabkan negeri itu ditadbir oleh pembangkang yang tidak sehaluan dari sudut politik dengan kerajaan Persekutuan, maka ia merupakan tindakan kepartian sempit yang merugikan rakyat.

Loading...