KSN Ketuai Sembah Taklimat Pakar Kepada Majlis Raja-Raja

PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dijangka mengetuai beberapa ketua agensi kerajaan bagi memberi taklimat dalam Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu, petang ini. 

Perbincangan Khas itu yang juga inisiatif Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi membincangkan usaha memerangi pandemik COVID-19 di negara ini termasuk pelaksanaannya ketika tempoh darurat yang sedang berjalan ketika ini. 

Ia dijangka bermula jam 2.30 petang ini di Istana Negara. 

Selain Mohd Zuki, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga dijangka menghadiri Perbincangan Khas itu.

BH sebelum ini melaporkan Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu dijadualkan berlangsung di Istana Negara, hari ini. 

Ia selepas 18 ketua parti politik selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong sejak minggu lalu. 

Sesi menghadap baginda di Istana Negara dimulakan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu lalu diikuti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu. 

Pada Khamis, sesi menghadap disertai oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. 

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pula menghadap Seri Paduka pada Jumaat. 

Isnin lalu, baginda berkenan menerima mengadap secara maya Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Jemut Masing; Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Datuk Seri Tiong King Sing. 

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam satu kenyataan semalam, menyebut baginda turut berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, Tun Ariffin Zakaria. – BH Online