Kru Kapal Warga Turki Maut, 3 Cedera Gas Ammonia Bocor

KLANG – Seorang kru kapal MV Hamburg DW warganegara Turki maut manakala tiga lagi cedera akibat kebocoran gas ammonia di perairan Pintu Gedung Pelabuhan Barat, di sini pada Selasa.

Mangsa yang maut dikenali Kara Turkut, 62, manakala mangsa yang cedera adalah dua rakan senegaranya iaitu Dagli Murat, 32, dan Bayri Emre, 28, serta seorang warga India, Yadav Byasmuni, 50.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku semasa kapal itu dalam perjalanan ke Pelabuhan China dari Pelabuhan Oman dengan melalui perairan Malaysia.

“Kapal MV Hamburg DW itu membawa muatan gas ammonia.

“Setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan hanya melibatkan kemalangan dalam kapal tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 11.55 malam berkenaan kapal yang membawa 25 kru dalam perjalanan ke Pelabuhan Zhanjiang, China dari Pelabuhan Al Duqum di Oman.

“Siasatan awal mendapati sistem perpaipan kapal tersebut bocor yang seterusnya menyebabkan gas ammonia terdedah.

“Bot Pengawal 26 dengan 18 anggota dan pegawai termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Bomba Selangor telah digerakkan bersama ke lokasi bagi mengambil kesemua mangsa,” katanya.

Tambahnya, bot yang membawa mangsa kemudiannya tiba di jeti Pasukan Polis Marin (PPM ) Pelabuhan Klang kira-kira jam 7.20 pagi Rabu.

Katanya lagi, kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA