Kru Warga China Selenggara Kapal Tercampak Ke Laut

SHAH ALAM – Seorang kru kapal korek pasir warga China hilang selepas terjatuh ke dalam laut ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan di atas kapal itu, pada kedudukan kira-kira tujuh batu nautika dari Pintu Gedung, Pelabuhan Klang, dekat sini, Rabu lepas.

Pengarah Maritim Daerah, Kapten Maritim Abu Zaki Mohammad berkata pihaknya menerima panggilan daripada Pejabat Kedutaan China pada 3.05 petang hari yang sama memaklumkan mengenai kejadian, sebelum dua buah aset milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, mangsa yang berumur 35 tahun sedang melakukan penyelenggaraan kapal apabila berlaku letupan kecil menyebabkan dia terjatuh ke dalam laut.

“Mangsa juga dipercayai mengalami kecederaan teruk di kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abu Zaki, lebih malang lagi, bapa mangsa yang merupakan kapten kapal berkenaan dan ibu mangsa yang juga tukang masak di atas kapal sama, mengalami serangan jantung apabila mendapat tahu mengenai kemalangan yang menimpa anak mereka.

Katanya, pihak Maritim telah mengejarkan mereka berdua ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini bagi mendapatkan rawatan sementara usaha mencari mangsa sedang giat dijalankan.

“Kapal itu yang dalam pelayaran dari Pasir Gudang, Johor, ke Bangladesh kini berlabuh di kedudukan 1.3 batu nautika dari Tanjung Rhu dekat sini,” katanya. – BERNAMA

Loading...