KPWKM Jalankan Kajian Peluang Pekerjaan OKU

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menjalankan Kajian Peluang Pekerjaan Orang Kurang Upaya (OKU) tahun depan, kata Timbalan Menterinya Hannah Yeoh.

Beliau berkata menerusi kajian itu, kementerian berharap dapat mengumpul maklumat mengenai isu pekerjaan golongan berkenaan bagi manfaat mereka.

“Untuk makluman, kementerian telah mendapat kelulusan untuk menjalankan Kajian Peluang Pekerjaan OKU di Malaysia di bawah Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) pada 2019 dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

“Kementerian berharap memperoleh maklumat dan input yang penting mengenai situasi industri semasa dari segi penawaran kerja dan isu-isu pengambilan pekerja OKU serta permasalahan yang dihadapi OKU untuk memasuki alam pekerjaan,” katanya ketika menggulung Perbahasan Kajian Separuh Penggal RMK-11 bagi kementeriannya di Dewan Negara, hari ini.

Hannah juga berkata kementerian juga telah mengadakan beberapa perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi meningkatkan jumlah OKU dalam perkhidmatan awam.

“Pada Oktober lalu, Kabinet bersetuju agar SPA mempertimbangkan pelantikan wakil OKU dalam suruhanjaya berkenaan.

“SPA memaklumkan bahawa cadangan pelantikan wakil OKU akan dibawa untuk kelulusan Perdana Menteri sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Raja-raja,” katanya. – BERNAMA

Loading...