KPN Beri Keterangan Perbicaraan Kes Petisyen Pilihan Raya Dun Rantau

SEREMBAN – Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini hadir di Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban bagi memberi keterangan pada perbicaraan petisyen pilihan raya yang difailkan Dr S. Streram, calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di kawasan Parlimen Rembau.

Mohamad Fuzi, 59, selaku saksi kesembilan, juga merupakan saksi terakhir bagi pihak pempetisyen (Dr Streram).

Mohamad Fuzi memberitahu mahkamah hari ini bahawa semasa hari penamaan calon pilihan raya bagi DUN Rantau pada 28 April lepas, beliau telah dimaklumkan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin bahawa Pegawai Pengurus Pilihan Raya Rantau, Amino Agus Suyub telah meminta bantuan polis menghalang Dr Streram untuk membuat pendaftaran.

Beliau dalam keterangannya turut menjelaskan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai persefahaman tanggungjawab dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa aspek keselamatan kawasan penamaan calon di bawah pihak PDRM manakala isu berkaitan proses penamaan calon dikendalikan SPR khususnya oleh pengurus pilihan raya.

Dalam keterangan selama lebih setengah jam di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar itu, Mohamad Fuzi berkata oleh kerana aspek keselamatan dipertanggungjawab kepada pihak PDRM, jika ada permohonan tertentu seperti menghalang bakal calon, ia akan dikuatkuasakan.

Mohamad Fuzi berkata demikian ketika disoal peguam Dr Streram iaitu Hanif Kathri Abdulla.

Sementara itu, ketika disoal balas oleh peguam Datuk Hafarizam Harun yang mewakili responden pertama Datuk Seri Mohamad Hasan, sama ada beliau bersetuju dengan arahan atau maklumat yang diterima daripada Noor Azam berkenaan isu DUN Rantau ialah tentang ketidakadaan pas untuk masuk ke dewan penamaan calon dan sejauh mana laporan yang beliau terima daripada Noor Azam?

Mohamad Fuzi menjelaskan bahawa beliau telah bertanyakan kepada Noor Azam sebab apa bakal calon ini tidak dibenarkan mendaftarkan diri sebagai calon dan jawapan beliau (Noor Azam) jelas bahawa puncanya ialah Dr Streram tidak membawa atau memakai pas yang disyaratkan SPR pada hari tersebut.

Dr Streram dalam petisyennya menamakan Mohamad sebagai responden pertama; Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau Amino Agus reponden kedua dan SPR responden ketiga.

Pakar bius itu selaku pempetisyen memfailkan petisyen itu pada 23 Mei lalu untuk menuntut perintah supaya satu pilihan raya kecil diadakan dengan serta-merta setelah mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dr Streram yang didakwa gagal menunjukkan pas calon ketika hendak mendaftar sebagai calon kawasan itu di Rembau, mendakwa SPR telah gagal memberitahunya semasa mengambil borang pencalonan dan membayar deposit untuk mengambil tag nama atau pas masuk ke dalam dewan pencalonan pada hari pencalonan. – BERNAMA