KPN Akan Suruh SB Bawa Plakad Perkenalkan Diri

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador hari ini memperlekehkan permintaan Warisan supaya anggota polis Cawangan Khas (SB) supaya memperkenalkan diri ketika menghadiri majlis yang dianjurkan parti itu, mengatakan polis akan terus melaksanakan tugasnya dan tidak mahu membuat isu berhubung perkara itu.

“Mungkin saya akan suruh orang saya membawa plakad untuk memperkenalkan diri mereka sebagai polis,” katanya ketika ditanya adakah beliau bersetuju dengan permintaan itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan tugas kepada timbalannya, Mazlan Mansor.

Semalam, Naib Presiden Warisan Junz Wong berkata tidak ada isu sekiranya anggota SB mahu menghadiri acara parti itu atau kerajaan, tetapi mereka perlu memperkenalkan diri terlebih dahulu.

Wong, yang juga menteri pertanian dan industri makanan Sabah, berkata ini adalah usaha untuk membersihkan nama parti berhubung laporan mengenai anggota SB dilarang menghadiri sidang media Warisan.

Beliau juga menafikan insiden anggota SB dihalang menghadiri sidang media pemimpin Warisan sentiasa berlaku, sebaliknya berkata, sejauh pengetahuannya, ia hanya berlaku 1 atau 2 kali.

Apabila ditanya sama ada anggota SB perlu perkenalkan diri mereka seperti itu, Hamid, yang merupakan bekas ketua SB, berkata polis akan meneruskan tugas mereka seperti biasa.

“Dalam sejarah polis, tidak ada kesukaran dalam menjalankan tugas di mana-mana majlis pun,” katanya. – FMT

Loading...