KPM Usaha Beri Vaksin Covid-19 Awal Kepada Guru

SABAK BERNAM – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi membolehkan guru menjadi penerima vaksin fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Muslimin Yahaya berkata, keutamaan pemberian vaksin itu kepada guru disebabkan golongan berkenaan turut berisiko tinggi mengalami kesan negatif daripada jangkitan Covid-19.

“Perkara ini akan dibincangkan dengan kedua-dua kementerian dan kemungkinan sasaran permulaan diberikan kepada guru yang berisiko tinggi,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan persediaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Yoke Kuan di sini pada Isnin.

Pada Ahad, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi vaksin Pfizer-BioNTech fasa pertama kepada kelompok guru paling berisiko.

Beliau berkata, pihaknya akan membincangkan perkara itu dengan KPM susulan banyak permohonan diterima daripada guru untuk mendapatkan vaksin tersebut. – Sinar Harian