KPM Pinda Takwim Penggal Persekolahan 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) meminda Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 bagi membantu pihak sekolah membuat perancangan pengajaran dan pembelajaran pelajar.

KPM dalam kenyataan hari ini berkata pindaan itu melibatkan cuti pertengahan penggal dua dan cuti akhir tahun yang dikurangkan.

Pindaan melibatkan cuti pertengahan penggal dua itu dikurangkan daripada sembilan hari kepada lima hari bagi sekolah-sekolah di seluruh negara, katanya.

Cuti akhir tahun bagi sekolah-sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dikurangkan daripada 42 hari kepada 14 hari, manakala kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya) dikurangkan daripada 41 hari kepada 13 hari.

“Oleh itu, jumlah hari persekolahan secara bersemuka berdasarkan pindaan Takwim Penggal Persekolahan Tahun 2020 adalah sebanyak 168 hari bagi semua sekolah,” kata KPM.

Menurut KPM, bilangan hari pembelajaran di rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan adalah sebanyak 56 hari bagi sekolah dalam negeri Kumpulan A, manakala kumpulan B sebanyak 55 hari. 

“Bilangan hari pembelajaran di rumah ini hanya terpakai kepada pelajar Tingkatan Lima dan Enam sahaja sementara bagi pelajar lain bergantung kepada bila mereka akan kembali ke sekolah kelak,” katanya.

KPM berkata Takwim Penggal Persekolahan 2020 yang telah dipinda boleh diperoleh melalui laman sesawang https://www.moe.gov.my/takwim/takwimpersekolahan-pindaan-2020

KPM sebelum ini mengumumkan sekolah akan dibuka semula esok (24 Jun) melibatkan pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang akan menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara. – BERNAMA

Loading...