KPM Nafi Kertas Bahasa Inggeris PT3 Diulang Semula

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini menafikan khabar angin yang berlegar di media sosial bahawa Kertas Bahasa Inggeris (Kertas12/2) Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) akan diulang semula.

Dalam satu kenyataan, KPM berkata, berita yang menyatakan kertas itu akan diulang semula pada 10 Oktober 2019 adalah tidak benar.

“Sehubungan itu KPM menasihatkan agar orang ramai tidak menyebarkan maklumat berkenaan kerana ia akan mendatangkan kerisauan kepada para ibubapa dan memberikan tekanan kepada calon yang sedang menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3),” demikian menurut kenyataan KPM hari ini.

Lebih 400,000 pelajar di seluruh negara menduduki PT3 hari ini bermula dengan kertas Bahasa Inggeris 1 dan 2.

Sebelum ini, KPM berkata, Kertas Bahasa Melayu (BM) Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang dijadualkan semalam ditangguhkan ke 9 Oktober, manakala kertas BM Komunikasi dan English for Communication Pendidikan Asas Vokasional (PAV) ditangguhkan ke Khamis ini.

Penangguhan itu dilakukan selepas kerajaan negeri Kelantan mengisytiharkan Ahad dan Isnin sebagai cuti peristiwa.

Penangguhan bagi menghormati kemangkatan Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, pada Sabtu lalu.

Loading...