KPM Nafi Beri Kebenaran Edar Komik Propaganda

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kementerian itu membenarkan komik ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ diedar ke sekolah seluruh negara.

KPM dalam satu kenyataan berkata, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah diarahkan untuk memastikan semua sekolah tidak menerima dan membuat edaran komik daripada mana-mana pihak atau pembekal.

“KPM juga akan mengkaji dengan lebih teliti isi kandungan buku tersebut melibatkan fakta dan orientasi penulisan,” katanya.

Menurutnya, dalam masa yang sama KPM juga akan bekerjasama untuk mendapatkan ulasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai aspek keselamatan yang melibatkan sensitiviti masyarakat dan hubungan luar negara.

Terdahulu, Najib dalam hantaran menerusi laman Facebooknya mempersoalkan komik didakwa berbentuk propaganda diedarkan di sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan di negara ini yang mengagungkan DAP, komunis, memburukkan Malaysia, dirinya sekeluarga.

Najib turut memuat naik gambar sepucuk surat kebenaran dan beberapa helaian muka surat komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tersebut yang didakwa menyebarkan propaganda itu.

Menerusi gambar dikongsikan, surat bertarikh 8 Oktober 2019 dan keterangan surat itu ditujukan kepada pengetua sekolah.

Komik berkenaan diterbitkan pada April 2019 dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris atas kerjasama kolektif antara kurator Dr. Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan Ching Po Ling.

Loading...