KPM Akan Siasat Pembekal Jalur Gemilang Terbalik

KUALA LUMPUR – Belum pun reda isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah sekolah di Pahang baru-baru ini, timbul satu lagi isu sama apabila sebuah sekolah menerima bekalan Jalur Gemilang secara terbalik.

Insiden itu tular di laman sosial Twitter apabila pemilik akaun yang dikenali sebagai @khayrulfarid memuat naik gambar bendera terbabit yang mencetuskan kemarahan orang ramai.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menerusi akaun Twitternya pada Rabu menegaskan bahawa kementeriannya akan menyiasat dan segera mengambil tindakan berhubung isu tersebut.

“Pihak KPM akan segera menyiasat perkara ini,” katanya.

Maszlee berkata demikian bagi memetik kenyataan pengguna Twitter itu yang mendapat maklumat pihak sekolah menerima bendera berkenaan daripada pembekal.

Seorang pengguna Twitter @khairuahmad berkata dia mahu kementerian bukan sekadar menyiasat tetapi mengambil tindakan sewajarnya.

“Jangan siasat saja YB. Ambil tindakan terhadap pembekal dan pengilang bendera sebegini. Tarik semula lesen SSM mereka. Mereka tidak ada rasa hormat terhadap Malaysia,” tulisnya.

Sementara itu, @En_De4n pula berkata tindakan adalah perlu bagi memberi peringatan dan amaran kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Wajib ambil tindakan kepada pembekal sebagai peringatan dan amaran kepada yang lain bahawa ini bukan perkara yg boleh di pandang remeh,” tulisnya.

Sebelum ini, terdapat satu insiden berasingan di mana pemasangan Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah sekolah di Pahang.

Kata Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, perkara itu adalah perbuatan yang tidak disengajakan.

Beliau berkata pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung isu terbabit dan mendapati pemasangan Jalur Gemilang itu bukan niat bertujuan untuk mengaibkan atau merupakan satu manifestasi membantah di luar sekolah berkenaan. – Astro Awani