KPLB Sasar Peningkatan 10 Peratus Usahawan Mara

KOTA BHARU – Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyasar untuk meningkatkan usahawan Majlis Amanah Rakyat (Mara) kepada kira-kira 100,000 orang pada tahun depan.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ketika ini, usahawan MARA berjumlah seramai 83,000 orang.

“Kita bukan hanya mahu mewujudkan lebih ramai usahawan tetapi yang apa yang lebih penting kelompok ini mampu bertahan dalam perniagaan masing-masing, berdaya saing, mempunyai kebolehpasaran produk dan memiliki premis perniagaan sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Kawasan Industri Mara (KIM) Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Luar Bandar Norison Ramli dan Pengarah Mara Kelantan Zulkarnain Zakaria.

Rina berkata bagi mencapai sasaran itu pihak kementerian akan merangka program pemasaran khusus kepada usahawan kecil melalui perkongsian pengalaman daripada usahawan yang telah berjaya.

“Kita akan perhalusi perkara ini dengan kerjasama agensi yang berkaitan dengan menjadikan usahawan yang telah berjaya sebagai mentor kepada peniaga kecil-kecilan yang lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama Rina berkata daripada data jualan yang diperolehi setakat ini usahawan Mara mampu menjana purata pendapatan sehingga mencecah RM8 juta setahun.

Katanya pasaran luar negara yang berjaya ditembusi usahawan Mara meliputi Thailand, Singapura, Brunei, Rusia, Pakistan dan Indonesia. – BERNAMA

Loading...